
Masjid Al-Ghufran telah
didaftarkan dengan nama Surau Balai Islam dibawah pengawasan Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 6 April 1993. Ia pada
mulanya hanya digunakan untuk pusat pertemuan masyarakat Islam setempat
di hari-hari kebesaran Islam juga sebagai pusat kelas-kelas pengajian di
samping berperanan sebagai tempat solat ahli-ahli jemaah di sekitar
Pinggir Taman Tun Dr. Ismail.
Ia didirikan di atas
sebidang tanah yang telah diwakafkan oleh salah seorang ahli jemaah yang
bermurah hati menyerahkan sebahagian tanah peribadinya untuk diusahakan
sebagai sebuah Surau.
Mulai dari Februari
1995, Surau Balai Islam telah dinaikkan taraf menjadi Surau Jumaat
memandangkan peranannya sebagai tempat bersolat untuk ahli jemaah di
kawasan persekitarannya semakin penting dengan bertambahnya kegiatan
pembangunan di sekitar Pinggir Taman Tun Dr. Ismail.
Hasil daripada
sumbangan dermawan dari golongan para koprat, Surau Balai Islam ini
telah diubahsuai dan dibangunkan sesuai dengan peningkatan peranannya
yang bukan sahaja sebagai surau malah mempunyai kemudahan-kemudahan
seperti sekolah rendah agama, kamar musafir, dewan konferen, dewan makan
dan bilik mesyuarat yang dibangunkan sejak September 1998. Akhirnya
Surau Balai Islam yang berwajah baru telah siap dibangunkan dan mula
beroperasi menerima tempahan untuk penginapan kamar musafir pada 14
Julai 2000.
Sesuai dengan
pembangunan yang berkembang pesat maka Surau Balai Islam telah dinaikkan
taraf kepada Masjid pada 4 April 2000. Masjid ini dinamakan Masjid Al-Ghufran
sempena nama yang diberikan oleh Yang Berbahagia Datuk Mohd Hashim B.
Yahaya, Mufti Wilayah Persekutuan yang bermaksud 'Keampunan'.
Mudah-mudahan dengan
kewujudan Masjid Al-Ghufran ini akan menambahkan lagi rumah-rumah Allah
yang bukan sahaja berfungsi sebagai masjid untuk pusat kegiatan sosial
yang islamik kepada masyarakat, tetapi juga berfungsi sebagai tempat
kemudahan yang diperlukan oleh para musafir khususnya dan umat Islam
amnya dalam membantu menyemarakkan lagi syiar Islam ke pelusuk dunia. |